Taekwon-Do Tradisional & Taekwondo Sukan
SUATU PERBANDINGAN
Oleh: Tuan Hj. Saiful Nizam Ashari - Setiausaha Agung PTNT
Email: snaco77@gmail.com
ITF (dan juga GTF, di dalam artikel ini saya akan gunakan terma ITF kerana ketulenan dan populariti) dianggap sebagai satu badan yang memperjuangkan Taekwon-Do "tradisional" atau yang asal dan sebenar manakala WTF sering dirujuk sebagai Taekwondo "moden" yang berorientasi dan bermatlamatkan Olimpik.
ITF menggunakan gerakan pattern "Chonji" yang dicipta oleh Gen.Choi Hong Hi dan Mejar Nam Tae Hi. WTF pada asalnya menggunakan pattern "Palgwe" untuk tahap talipinggang berwarna. Kemudian WTF menggantikannya dengan "Taeguk" sebagai siri yang baru untuk setiap tahap talipinggang. ITF juga mempunyai pattern yang berlainan pada setiap tahap dan dipanggil "Tul" pada belakang setiap nama pattern.
Perbezaan ketara seni Taekwon-Do ITF berbanding seni lain seperti Karate adalah pergerakan 'sine-wave motion' - yang mana asas ini tidak ada dalam WTF. Setiap gerakan pula disertakan dengan teknik hembusan nafas (ada dalam sesetengah cabang Karate) - asas ini tidak dititik berat oleh WTF. Teknik hembusan nafas perlu dipelajari bagi mencapai matlamatnya iaitu untuk penjanaan kekuatan dalaman.
Di dalam Free-Sparring, ITF mengamalkan Separa-Sentuhan / Semi-Contact bertujuan meminimumkan risiko kecederaan semasa latihan dan pertandingan. ITF membenarkan penggunaan tangan untuk tumbukan ke arah muka. Latihan tendangan ITF mempunyai teknik yang pelbagai dan tidak semestinya menjurus untuk tujuan pertandingan sahaja.
WTF menumpukan latihan tendangan yang sesuai digunakan dalam pertandingan. Penjanaan tendangan pantas dan cepat. Prinsip 'sine-wave motion' dan teknik pernafasan tidak langsung ada dan penggunaan body-pad (dan pelbagai alatan perlindungan anggota badan) membolehkan peserta menjana teknik secara Full-Contact. Oleh sebab ini ahli Taekwon-Do tradisional mengklasifikasikan WTF sebagai pengamal Sukan Taekwondo dan bukan Seni Taekwon-Do.
Kedua-dua sistem ITF dan WTF masih mengekalkan larangan teknik humbanan dan serangan di bawah aras pinggang. Walaupun falsafahnya juga berlainan, persamaan masih juga wujud iaitu asal usul Taekwon-Do adalah dari Korea (bukan Korea Selatan atau Korea Utara), teknik-teknik penjanaan tendangan yang kuat dan berkuasa sama-sama wujud dan dinilai dengan pecahan papan.
Perbandingan secara ringkas boleh diurai seperti berikut:-
- Taekwon-Do Tradisional bermatlamat melatih seseorang maju dalam diri dari segi jasmani dan rohani. Taekwondo Sukan berorientasikan kemenangan ke atas lawan.
- Taekwon-Do Tradisional mencerminkan nilai Ketimuran manakala Taekwondo Sukan mencerminkan nilai Barat.
- Taekwon-Do Tradisional menumpukan "proses dan jalan" untuk mencapai matlamat manakala Taekwondo Sukan berorientasikan "keputusan".
Perbezaan adalah anugerah yang seharusnya dikaji untuk tujuan perpaduan dan keharmonian bukan untuk pergaduhan. Sehebat mana sekali pun sesuatu organisasi memperjuangkan seni Taekwon-Do melalui platform sukan dan perlawanan, pemimpin Taekwon-Do tidak harus leka bahawa keinginan manusia sejagat adalah untuk kebaikan. Justeru langkah yang diambil oleh ITF dan WTF dalam meja perbincangan adalah tindakan yang betul dan dipuji. Saya yakin majoriti warga Taekwon-Do mengenepikan ideologi politik dan aliran berharap dua badan dunia ini dapat merintis jalan perpaduan.
PTNT yang mengamalkan Taekwon-Do Tradisional menekankan keupayaan menjana teknik bukan sahaja yang ada dalam latihan rutin Taekwon-Do yang biasa seperti latihan menendang dan menumbuk, tetapi teknik-teknik yang dianggap penting untuk dipelajari oleh individu bagi tujuan "Pertahanan Diri".
Keupayaan mengawal dan menjana teknik pula bergantung pada individu dan bukan pada badan pengelola. Lebih penting lagi bagaimana sesuatu ilmu diperturunkan perlu merujuk siapa "jurulatih" dan kemampuannya menunjuk ajar. Keunikan Taekwon-Do dan matlamat murninya dalam pendidikan musnah dengan wujudnya persaingan secara tidak sihat. Justeru matlamat pembangunan sahsiah insan seharusnya dijadikan titik utama dalam pembabitan seni mempertahankan diri Taekwon-Do, dan bukannya matlamat "menang pingat" atau "wakil negeri". Hanya ahli Taekwon-Do yang berkebolehan dan sememangnya bagus yang layak bergelar "wakil negeri" atau "wakil negara" tanpa mengira dari badan atau organisasi.
"Taekwon!" Read more...