Related Posts with Thumbnails

Thursday, June 12, 2008

SUKMA 2008

SUKMA 2008 DI TERENGGANU:
ACARA TAEKWONDO
Oleh: Hj. Saiful Nizam Ashari - Setiausaha Agung PTNT
Email: snaco77@gmail.com


"Salam Sejahtera".
Sebagai rakyat negeri Terengganu saya berbangga temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-12 berjaya meletakkan kontinjen negeri saya di tangga teratas yang sebelum ini kerap kali dipegang oleh kontinjen Selangor.

Sebagai pengamal dan peminat seni Taekwon-Do atau sukan Taekwondo, sudah tentu saya mencari ruang untuk hadir menyaksikan acara Taekwondo yang diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara - Wakaf Tapai, Marang.

1. ISU MUTU PENGADILAN

Saya mungkin bukan individu yang sesuai mengkritik dalam hal ini. Bagaimana pun sebagai yang menyaksikan insiden-insiden dan "atmosphere" perlawanan, penulisan ini hanyalah satu tanggapan dan pandangan yang sudah tentunya boleh dibahas.

Setiap acara sukan yang diadakan dalam setiap temasya tidak lari dari komen dan kritikan dalam segenap hal seperti pengurusan penganjuran, tempat, fasiliti, mutu pengadilan dan sebagainya. Malah setiap temasya sudah tentu wujud perkara-perkara baru positif yang menarik perhatian.

Bagi acara Taekwondo, gaya WTF dimasukkan sebagai acara dalam SUKMA. Saya pada mulanya difahamkan ianya bukan acara wajib seperti olahraga. Ini bermakna acara Taekwondo menjadi 'option' penganjur samada ianya perlu diadakan atau tidak. Jika ianya suatu pilihan, suara sumbang mencadangkan sukan ini tidak dipertandingkan pada SUKMA mendatang sehingga resolusi persefahaman dicapai antara badan Taekwondo kebangsaan yang masih bergolak dan berkecamuk. Sukan Taekwondo dalam SUKMA bagaimana pun adalah acara wajib dan sudah tentu akan terus dipertandingkan. Beberapa persoalan timbul atas akibat apa yang telah berlaku dalam penganjuran SUKMA kali ini.

Sebagaimana Taekwondo, sukan subjektif ala kombat seperti Silat, Karate dan Tinju pastinya wujud kontroversi dari sudut keputusan pengadil dan biasanya tidaklah begitu ketara. Bagaimana pun keputusan-keputusan acara Taekwondo telah menjadi buah mulut bukan sahaja di kalangan yang menyaksikan (penonton) malahan kebanyakan pengurus atlet negeri-negeri yang menyertai.

Di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 11 Jun 2008 :- (dipetik melalui versi online):-

Presiden WTF kesal mutu pengadilan acara taekwando
KUALA TERENGGANU – Presiden Persatuan Taekwando Selangor (WTF), CK Karan melahirkan kekecewaannya terhadap mutu pengadilan acara taekwando Sukan Malaysia (SUKMA) XII di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Wakaf Tapai, Marang baru-baru ini. Sinar Harian difahamkan, isu itu timbul apabila keputusan perlawanan dikatakan sengaja diatur pihak penganjur pertandingan yang dikepalai pengurusan pusat taekwando swasta terkenal di negeri ini.

Saya sebagai penonton telah menjadi saksi beberapa insiden yang tidak menyenangkan. Sejak hari pertama sudah ada yang bersungut dengan keputusan berat sebelah kumpulan pengadil yang dipilih oleh penganjur pertandingan. Yang ketara di hadapan mata saya pengurus kontinjen Kedah melahirkan rasa kecewanya di luar gelanggang melalui kata-kata dan menyifatkan kejadian ini boleh merosakkan matlamat utama aktiviti Taekwondo. Wajah kecewa juga jelas kelihatan kepada peserta-peserta yang kalah, ini kerana mereka yakin keputusan berpihak kepada mereka atas apa yang telah mereka persembahkan, namun lain pula keputusan yang diterima mereka. Pengurus tersebut dengan lantang menyatakan acara ini lebih baik tidak diadakan lagi pada SUKMA yang mendatang kerana sikap pengadil-pengadil yang jelas seperti "dibeli" dan "mengampu" tuan rumah seolah-olah ada habuan yang bakal diterima.

Hari Kedua masih lagi kedengaran suara-suara sumbang beberapa jurulatih dan pegawai pasukan negeri. Saya memasang telinga dan mendapat tahu pada malamnya jam 3 pagi cabutan dibuat semula kerana bantahan keras dibuat oleh beberapa pegawai berkenaan susun atur perlawanan yang dilihat berpihak kepada tuan rumah yang sudah awal-awal mengenal pasti tahap pihak lawan.


2. ISU BADAN PENGANJUR ACARA

Secara konvensional penganjuran acara dalam temasya kebangsaan haruslah diurus oleh Badan Sukan di Peringkat Negeri. Ini kerana kontinjen-kontinjen menggunakan platform "negeri". Bagi "layman dalam Taekwondo" atau "orang biasa", mereka memahami kuasa mengurus tadbir atlet dan acara diberi kepada Persatuan Taekwondo Terengganu (MTA/WTF).

Apakah ada syarat temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dalam mengiktiraf dan memberi kuasa penganjuran kepada badan sukan di peringkat negeri; jika ada termaktub dalam sebarang aturan Majlis Sukan Negara / Majlis Sukan Negeri, maka ianya haruslah menjadi intipati utama yang harus diketengahkan. Atau sememangnya MSN mempunyai bidangkuasa yang tidak terbatas untuk melantik sebarang kelab atau badan sukan yang sesuai atau dengan kata lainnya yang paling disukai olehnya.

Menurut petikan di atas acara ini diuruskan oleh "pusat taekwando swasta terkenal di negeri ini". Terma "swasta" itu sendiri sudah jelas melambangkan tujuan pusat itu ditubuhkan dan motif utama setiap operasinya. Ditambah pula dengan beberapa insentif berbentuk wang yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri untuk badan pengurusan sesuatu acara, bertambahlah lagi tanggapan dan kepercayaan orang ramai terhadap unsur negatif yang mungkin telah berlaku.

Pusat yang dimaksudkan mengguna pakai terma "Kelab" atau "Akademi" yang sewajarnya menjadi ahli persatuan di bawah kelolaan badan peringkat negeri. Bagi sesebuah "Akademi" yang menjalankan Taekwondo, dahulunya ia boleh didaftarkan sebagai satu entiti perniagaan di bawah Pendaftar Perniagaan (ROB). Dengan wujudnya Akta Pembangunan Sukan 1997, semua Akademi yang menjalankan "bisnes taekwondo" haruslah berdaftar semula dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan harus mempunyai undang-undang tubuh sebagaimana pengurusan sebuah persatuan.

Umum mengetahui modus-operandi sebuah Akademi adalah bertemakan keuntungan dan kerajaan belum menghalang kegiatan ini diusaha secara komersil. Tumpuan bantuan dan peruntukan haruslah diberi kepada badan-badan sukan yang berdaftar sebagai sebuah persatuan terutama persatuan di peringkat negeri. Agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dengan badan sukan yang mewakili negeri adalah seperti Majlis Sukan Negeri dan Jabatan Belia Dan Sukan Negeri. Dua agensi ini menjadi saluran utama pergantungan sesebuah persatuan berdaftar.


3. ISU ATLET ANAK JATI YANG TIDAK MEWAKILI TERENGGANU

Perkhabaran yang tidak enak didengar ialah apabila seseorang menyatakan sebilangan besar atlet yang mewakili Terengganu bukan berasal dari negeri ini ,bukan berlatih di sini , bukan bernaung di bawah kelab "tersebut" dan diserap masuk kerana dibayar. Pernyataan yang dibuat di sini mungkin benar dan mungkin tidak benar, ini hanyalah satu khabar angin yang saya luahkan semula. Apapun, "jika tiada 'angin' masa kan pokok boleh bergoyang ?"

PTNT walaupun mengamalkan gaya taekwondo tradisional, ahli-ahli dididik sebagai seorang pengamal seni bela diri atau "martial artist" yang mampu mengadaptasi bentuk perlawanan. Sudah terbukti ahli-ahli PTNT yang melanjutkan pelajaran di menara gading telah berjaya melibatkan diri dan menonjol dalam acara Taekwondo WTF dan juga Karate bahkan ke peringkat antarabangsa. Tohmahan badan yang mengelolakan sistem WTF bahawa atlet ITF/GTF tidak mampu bersaing boleh diketepikan dan tidak harus lagi menjadi modal semata-mata untuk kepentingan diri.

Beberapa atlet PTNT diserap masuk ke dalam Kontinjen Karate Terengganu dan seorang jurulatih PTNT menggunakan platform MTA-Terengganu untuk mewakili Kelantan dalam temasya SUKMA ini. Bahkan dikatakan bahawa atlet MTA-Terengganu yang rata-ratanya anak jati negeri ini seramai 9 orang diserap masuk ke Kontinjen Taekwondo Kelantan. Kenapa? Tidak ada ruang untuk bekerjasama dengan "Kelab" yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh Majlis Sukan Negeri.

Sikap pengelola yang dilantik MSNT sejak awal lagi terserlah dalam beberapa siri penganjuran pemilihan untuk mewakili Pasukan Taekwondo Terengganu. Beberapa siri langsung tidak melibatkan badan pengelola Taekwon-Do negeri seperti PTNT dan MTA-Terengganu pernah bertindak memboikot acara pemilihan yang jelas wujud tindakan mengatur perlawanan dan membeli pengadil.

Di mana "Moral Culture" yang wujud dalam seni Taekwon-Do? Adakah nilai-nilai yang perjuangkan oleh Pengasas Taekwon-Do tidak ada dalam WTF (ramai yang percaya pengamal WTF negara ini hanya berorientasikan acara perlawanan). Saya pernah berinteraksi dengan pengamal WTF bangsa asing yang datang ke Pusat Latihan saya, mereka bersikap lebih terbuka dan pengetahuan mereka dalam seni Taekwon-Do tidaklah secetek yang disangka. Masalah terma WTF, ITF atau GTF tidak menjadi hal utama di tempat mereka kerana gaya-gaya ini boleh bersatu dan bekerjasama. PTNT bersikap lebih suka bekerjasama dan membantu bila perlu tetapi sikap sebaliknya pula ditunjukkan oleh badan tertentu, seolah-olah Taekwondo ini hanya "dimiliki" oleh mereka. Tindakan ini boleh dikategorikan sebagai sifat pengecut dan tamak yang hanya merugikan negeri ini.


4. ISU PERSATUAN TAEKWONDO DI PERINGKAT NEGERI

Sebagai salah seorang pegawai persatuan taekwondo di peringkat negeri yang memperkembangkan kegiatan Taekwon-Do ala tradisional, gaya yang dikenali sebagai ITF dan GTF, saya merasa kecewa dengan beberapa tindakan agensi yang tidak berapa mengendahkan pengelola di peringkat negeri. Walaupun PTNT menjadi ahli sekutu MSNT, beberapa mesyuarat penting berkenaan perkembangan seni dan sukan ini tidak dijemput. Sehingga kedengaran dalam siri mesyuarat bersama badan-badan taekwondo dengan MSNT mereka telah mengklasifikasikan taekwon-do yang diperjuangkan dan diajar oleh PTNT kepada atletnya adalah bersifat ganas dan tidak boleh sama sekali dijemput masuk ke dalam acara ala WTF.

Berapakah bilangan badan taekwon-do / taekwondo yang diisytihar di peringkat negeri yang ada dalam negeri Terengganu ?

Secara amnya badan pengelola taekwon-do di peringkat negeri terdiri daripada:-
1. Persatuan Taekwondo Terengganu (MTA/MTF) yang bergabung dengan badan kebangsaan Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) ...... gaya WTF
2. Persatuan Taekwon-Do Negeri Terengganu (GTF) yang bergabung dengan badan kebangsaan Persekutuan Taekwon-Do Global Malaysia (MGTF) ....gaya tradisional - GTF
3. Persatuan Taekwon-Do Terengganu (ITF) yang bergabung dengan badan kebangsaan Persekutuan Taekwon-Do Antarabangsa Malaysia (ITFM) .....
gaya tradisional - ITF

Apabila muncul kemelut penggantungan pendaftaran Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia suatu masa dahulu, penubuhan badan yang menggantikan MTA ialah Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF), status pendaftaran badan-badan sukan di peringkat negeri yang menjadi ahli MTA masih lagi kekal dan tidak terbubar. Namun implikasi bubar - tubuh baru - rayuan - wujud semula dan sebagainya telah mengundang banyak keliruan.

Badan pengelola kebangsaan untuk taekwon-do tradisional seperti ITF dan GTF hanya mengambil sikap tidak campur tangan dan menjana kegiatan mengikut takwim tersendiri. Mungkin tidak ada usaha oleh pihak kerajaan untuk mewujudkan secara rasminya satu Majlis atau Persekutuan yang menjadi payung kepada tiga-tiga aliran utama ini seperti MAKAF untuk Karate dan PESAKA untuk Silat. Cadangan menyatukan ketiga-tiga badan ini barangkali mustahil berikutan usaha kerajaan dalam penyatuan MTA, MTF dan MTCA juga melihat kebuntuan.

Kerajaan harus menyedari terdapat bakat-bakat yang hebat yang dilahirkan oleh dua badan Taekwon-Do tradisional yang mampu menyaingi atlet WTF. Taekwon-Do tetap Taekwon-Do. Matlamat pendidikan dan pembelajaran seni mempertahankan diri harus dijadikan suatu yang utama. Adakah pihak berwajib tidak terpanggil dengan idea pemayungan dan persefahaman di kalangan badan-badan Taekwondo? Atau wujud isu-isu tersembunyi yang melibatkan sensitiviti orang yang berkait atau yang mempunyai kepentingan?





Perlawanan melibatkan salah seorang atlet PTNT yang mewakili Kelantan.

0 comments:

2009

Promoting Traditional Taekwon-Do
free counters

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP